Kepulangan Chong Wei satu perkhabaran positif -- Hafiz

Oleh Penulis Jemputan 7 Oktober 2018 266
Kepulangan Chong Wei satu perkhabaran positif -- Hafiz
Bekas jaguh perseorangan negara, Hafiz Hashim, menyifatkan kepulangan Datuk Lee Chong Wei sebagai satu perkhabaran positif selepas hampir tiga bulan menjalani rawatan kanser hidung di Taiwan.

Berdasarkan kenyataan rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Chong Wei pulang ke tanah air hari ini selepas selesai melakukan rawatan di Taiwan sejak Julai lalu.

Bagi Hafiz, kepulangan Chong Wei juga adalah satu perkhabaran yang pasti melegakan pemerhati dan peminat badminton tempatan yang risau dengan tahap kesihatan pemain kelahiran Pulau Pinang itu sebelum ini.

"Sudah tentu apabila mengetahui Chong Wei sudah berada di Malaysia, kami memahami proses rawatannya berjalan dengan lancar dan ini adalah perkembangan yang positif untuk kem badminton negara," kata Hafiz.

Bagaimanapun, Hafiz menganggap kepulangan Chong Wei ke Malaysia bukanlah bermakna dia bakal kembali ke gelangang dalam masa terdekat, sebaliknya percaya ingin diberi ruang untuk berehat terlebih dahulu.

Tetapi Hafiz percaya semangat pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu mengatasi segala-galanya untuk segera mempersiapkan diri kembali ke pangkuan skuad badminton negara. 

"Apabila Chong Wei dipaksa berehat panjang, ia adalah situasi yang sukar perlu ditanggunginya dan saya berharap dia kekal tabah menghadapi perkara ini."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen