Kejohanan Jemputan BAM: Zii Jia, Joo Ven senasib dilanda kecederaan 

Oleh Shaiful Shamsudin 13 Ogos 2020 1881
Kejohanan Jemputan BAM: Zii Jia, Joo Ven senasib dilanda kecederaan 
Soong Joo Ven mengikuti jejak perseorangan utama lelaki negara, Lee Zii Jia, apabila tidak dapat meneruskan saingan Kejohanan Jemputan BAM akibat kecederaan.  

Zii Jia difahamkan mula mengalami kecederaan belakang ketika menerima tentangan sengit daripada Joo Ven dalam aksi pertamanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Ketika ketinggalan 10-11 dalam set ketiga, dia bergelut untuk membalas pukulan lawannya dan situasi itu berterusan apabila terus tercicir 16-18. 

Namun, mereka mempamerkan aksi mendebarkan sebelum Joo Ven mengesahkan kemenangan 21-19, 11-21-11, 29-27. 

Keadaan itu memaksa pemain ke-10 dunia itu terpaksa menarik diri sebelum turun berdepan Ng Tze Yong, malam ini. 

Joo Ven yang memberikan aksi lebih 100 peratus juga terpaksa akur dihimpit kecederaan hamstring yang mungkin memerlukannya  berehat yang panjang.

Selepas mencipta kejayaan pertama hari ini, dia terpaksa menarik diri pada awal set ketiga bertemu Lim Chong King biarpun menguasai set pertama. 

Senario itu mungkin boleh dianggap kesan selepas mereka berehat panjang ketika pandemik COVID-19.

"Atas nasihat pakar fisioterapi, kami putus Zii Jia agar tidak teruskan baki permainan.

"Saya sudah arahkan dia supaya panaskan badan tetapi dia beritahu tidak dapat membongkokkan badannya dengan baik, jadi dia tidak akan beraksi lagi buat masa ini," kata Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen