Kejohanan Jemputan BAM: Pearly-Thinaah cemerlang ke final 

Oleh Shaiful Shamsudin 14 Ogos 2020 274
Kejohanan Jemputan BAM: Pearly-Thinaah cemerlang ke final 
Saingan beregu wanita menyaksikan Pearly Tan-M. Thinaah dan Anna Cheong-Toh Ee Wei turun dalam pemburuan slot dua teratas.

Pada awalnya, kedua-dua beregu itu saling menyamai rentak masing-masing tetapi aksi lebih kemas daripada Pearly-Thinaah menyaksikan mereka terus mendahului sehingga mata terakhir dan smash daripada Pearly memastikan kemenangan set pertama 21-13 di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini. 

Cerita sama dalam set kedua dengan Pearly-Thinaah meneruskan momentum cemerlang tatkala Anna-Ee Yi seperti hilang hala tuju untuk pencabar mereka itu mengesahkan keunggulan 21-14 dalam set kedua, sekali gus layak ke final. 

"Kami amat jelas mengenai strategi kami dalam pertarungan ini, kami sempat berbincang. 

"Kami bersatu padu," kata Thinaah sambil disokong Pearly. 

Turut ke perlawanan akhir Ahad ini, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang mengetepikan Teoh Mei Cing-Yap Ling. 

Sungguhpun aksi set pertama agak sengit tetapi pilihan utama kejohanan itu tetap menang 21-18 dan kekal mendominasi pertarungan 21-15 untuk mengesahkan tiket ke penentuan juara. 

Ikuti siaran langsung Kejohanan Jemputan BAM di Astro Arena, hujung minggu ini. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen