Kejohanan Jemputan BAM: Aaron-Wooi Yik lepasi dua halangan awal 

Oleh Shaiful Shamsudin 12 Ogos 2020 70
Kejohanan Jemputan BAM: Aaron-Wooi Yik lepasi dua halangan awal 
Seperti yang diramal, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mengorak langkah kanan dengan mengatasi Choong Hon Jian-Loo Bing Kun dalam hari pertama Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini. 

Bagaimanapun, sebelum menang, Aaron-Wooi Yik selaku beregu utama negara ketika ini terpaksa bergelut apabila menerima tentangan sengit.

Diletakkan selaku pilihan utama Kumpulan A, beregu kesembilan dunia itu dikerah keringat dalam set pertama selepas Hon Jian-Bing Kun agresif melawan.  

Namun, fokus tinggi memastikan Aaron-Wooi Yik tetap menang 21-17.




Dalam set kedua pula, Hon Jian-Bing Kun mengekalkan momentum sama dan sebaliknya buat seteru mereka, situasi itu memberikan kelebihan kepada beregu muda negara berkenaan menang 21-18.

Pengalaman nyata jadi pemisah apabila Aaron-Wooi Yik menguasai set penentuan, walaupun Hon Jian-Bing Kun cuba melawan tetapi ketangkasan beregu utama negara itu membalas setiap pukulan memberikan kemenangan 21-13 yang merupakan kemenangan kedua mereka hari ini selepas menundukkan Ooi Jhy Dar-Yap Roy King 21-11, 21-16.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen