Kejohanan Dalaman BAM: Kisona alami kecederaan

Oleh Ammar Hakim 8 Ogos 2020 218
Kejohanan Dalaman BAM: Kisona alami kecederaan
Skuad badminton wanita negara semalam telah digemparkan dengan kecederaan baru yang melanda pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, dan terbaru, S. Kisona mengalami kekejangan otot sekaligus gagal mempamer kredibiliti dalam Kejohanan Dalaman Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Penganjuran kejohanan adalah perkara yang ditunggu-tunggu pemain berusia 21 tahun itu sejak penularan wabak Covid-19 yang menyekatnya daripada merasai suasana pertandingan. 

Lebih menyedihkan, Kisona terpaksa melupakan kejohanan pertama pasca Covid-19 bagi mengelak daripada dipalit isu kecederaan yang lebih serius.

Bagaimanapun, Kisona optimis mampu pulih sebelum saingan Piala Uber di Denmark bermula.

"Ini merupakan kejohanan yang penting sebagai persiapan kami menghadapi Piala Uber. Ia adalah peluang buat kami membuat persiapan daripada segi fizikal dan mental. Keadaan saya tidaklah begitu serius dan masih boleh mengelak daripada kecederaan yang lebih serius," kata Kisona.

Mengalami situasi yang sama beregu wanita negara, Vivian Hoo, yang turut berdepan dilema sama terlepas kejohanan dalaman BAM gara-gara di belenggu kecederaan lutut.

Kini pemain veteran negara itu mengharapkan pada satu lagi penganjuran kejohanan dalaman dalam usaha mengembalikan kecergasan.

"Sebelum ini saya telah mengalami rawatan dan sejak beberapa minggu yang lalu masih belum menjalani latihan penuh. Doktor menasihatkan supaya tidak menyertai kejohanan dalaman ini dan berusaha untuk kembali mendapatkan sentuhan dalam gelanggang selepas ini," kata Vivian.

Dengan satu demi satu pemain wanita negara mengalami kecederaan, ia pasti bukan satu situasi yang diingin kem negara dan persediaan ke Piala Uber dan mengelak daripada sekadar menjadi pasukan belasahan.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, berasakan adalah lebih baik buat Kisona dan Vivian direhatkan seketika. 

Meskipun gagal bersaing, Choong Hann tidak menafikan penglibatan mereka dalam Piala Uber di Aarhus, Denmark.

"Memang mereka mengalami kecederaan yang ringan, namun selepas berjumpa dengan doktor dan telah dinasihatkan untuk berehat seketika, jadi kami tidak terlalu bimbang dan percaya dengan kemampuan mereka," kata Choong Hann.

Pengendali berpengalaman itu turut membuka ruang buat perseorangan muda negara merebut slot ke saingan Piala Thomas. 

Lebih-lebih lagi selepas Leong Jun Hao mendominasi divisyen dua dalam kejohanan dalaman yang berakhir semalam.

"Saya berasakan pertandingan divisyen satu selalunya menarik. Terdapat kejutan akan hadir dan saya mengharapkannya kerana mahu memilih barisan terbaik buat skuad negara."

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen