Kejohanan berpasukan Asia: Skuad muda bakal diturunkan

Oleh Penulis Jemputan 21 Januari 2020 134
Kejohanan berpasukan Asia: Skuad muda bakal diturunkan
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi bayangan kudrat muda sebagai sandaran dalam Kejohanan Berpasukan Asia yang merupakan laluan kelayakan ke pusingan akhir Piala Thomas dan Uber 2020.

Jumaat ini adalah tarikh akhir serahan senarai empat perseorangan dan tiga beregu ke Kejohanan Beprasukan Asia di Manila, Filipina bulan depan.

Ketika pasukan wanita tidak ada masalah daripada aspek pemilihan, skuad lelaki berada dalam dilema sama ada untuk menyerap kudrat profesional atau tidak.

Malaysia memiliki keselesaan untuk layak ke pusingan akhir Piala Thomas berdasarkan kuota kedudukan ranking berpasukan dunia.

Ia senario yang sesuai untuk memberikan pendedahan berharga buat bakat muda yang berada dalam kem kebangsaan ketika ini.

"Saya akan mendengar dahulu pendapat jurulatih tetapi saya mahu mengambil peluang ini untuk menurunkan barisan muda ketika BAM kini di landasan Projek 24 dan diharap kejohanan akan digunakan sebagai pendedahan dan pengalaman dalam saingan berpasukan," kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.

Kenny yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM menegaskan jurulatih dan pemain tidak boleh berpeluk tubuh untuk ke Piala Thomas menerusi pintu belakang.

Untuk layak secara merit ke pusingan akhir Piala Thomas di Aarhus, Denmark, Mei depan, Malaysia perlu sekurang-kurangnya melangkah ke separuh akhir di Manila.

"Menurunkan barisan muda tidak bermaksud kami mengambil mudah kejohanan ini, sebaliknya sasaran empat pasukan terbaik masih lagi menjadi keutamaan."




Editor: Ammar Hakim

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen