Kecederaan barisan beregu lelaki India mahu dimanfaatkan sepenuhnya Malaysia dalam memastikan skuad kebangsaan tidak berputih mata untuk ke suku akhir Kejohanan Berpasukan Asia selaku juara kumpulan.

Senario itu menyaksikan India kehilangan satu mata menerusi saingan beregu ketika pertemuan menentang Kazakhstan semalam tatkala perkhabaran itu menjadi suntikan semangat buat gandingan Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Melihat kelebihan lawan yang bersandarkan kepada kekuatan barisan perseorangan, Aaron akur dengan keperluan beregu untuk memastikan mereka menyumbang mata.

Selain dia dan Wooi Yik, Malaysia dijangka mempertaruhkan kudrat pasangan profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, untuk saingan esok.

"Saya rasa aksi hari ini mungkin tidak banyak tekanan. Peratusan kami untuk menang lebih tinggi tetapi aksi menentang India esok lebih penting," kata Aaron.

"Mungkin faktor kecederaan lawan boleh dijadikan kelebihan tetapi kami tidak boleh terlalu memikirkannya. Kami harus terus fokus dalam setiap perlawanan."




Editor: Nafis Abdullah