Kejohanan Badminton Para Dunia: Madzlan, Bakri jadi sandaran negara

Oleh Penulis Jemputan 23 Oktober 2017 110
Kejohanan Badminton Para Dunia: Madzlan, Bakri jadi sandaran negara
Barisan pemain negara, termasuk Madzlan Saibon dan Bakri Omar, mendukung misi tersendiri dalam Kejohanan Badminton Para Dunia di Ulsan, Korea Selatan, dari 21 hingga 26 November ini.

Ini merupakan penampilan keempat Madzlan dalam kejohanan itu, bagaimanapun, dia masih menanti untuk mengecapi kejayaan dinobatkan sebagai juara dunia.

Tahun 2015 di England menyaksikan dia terpaksa berputih mata hanya merangkul pingat gangsa dalam acara perseorangan kategori WH2.

Bezanya untuk edisi kali ini, Madzlan bukan sahaja akan kembali bersaing dalam acara perseorangan tetapi bakal beraksi dalam acara beregu lelaki bersama Muhammad Ikhwan Ramli.

"Sebelum ini, memang saya ada membawa pulang pingat dalam setiap Kejohanan Dunia. Dua kali saya berada di tempat kedua dan pada 2015 di England, saya mendapat gangsa," katanya.

Turut sama memasang misi peribadi adalah Bakri yang beraksi dalam Kejohanan Dunia sejak edisi 2005 di Taiwan.

Di sana jugalah kali terakhir dia memenangi emas apabila membantu Malaysia dalam acara berpasukan apabila bergandingan dengan Hairol Fozi Saaba dalam acara beregu lelaki.

Selepas itu, impiannya banyak terkandas di peringkat suku akhir mahupun separuh akhir.

"Saya sudah hampir dua tahun berlatih, bermula tahun lepas. Daripada segi fizikal, memang nampak ada peningkatan," katanya.

Selain Mazlan dan Bakri, lima lagi pemain badminton para negara turut memikul tanggungjawab besar memacu kejayaan Malaysia, termasuk Huzairi Abdul Malek, yang mencuba buat kali ketiga dalam Kejohanan Dunia.

Senarai pemain ke Kejohanan Dunia

1. Madzlan Saibon (WH1)
2. Muhammad Ikhwan Ramli (WHI1)
3. Cheah Liek Hou (SU5)
4. Hairol Fozi Saaba (SU5)
5. Bakri Omar (SI4)
6. Huzairi Abd Malik (Sl3)
7. Didin Taresoh (SS6)

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen