Jin Wei titiskan air mata dalam dua edisi Sukan SEA

Oleh Penulis Jemputan 20 Oktober 2018 593
Jin Wei titiskan air mata dalam dua edisi Sukan SEA
Pemenang pingat emas acara perseorangan perempuan Sukan Olimpik Remaja 2018, Goh Jin Wei, mendedahkan dia pernah menangis dalam dua edisi Sukan SEA sebelum ini.

Jin Wei, yang ditemu bual dalam rancangan [email protected] kelolaan Astro Arena, sebentar tadi menjelaskan dia terlalu kecewa kerana gagal ke final acara perseorangan wanita Sukan SEA Singapura 2015 sehingga menitiskan air matanya.

"Pada 2015, saya tidak terfikir untuk tersenarai dalam pasukan kebangsaan.

"Apabila sampai ke peringkat separuh akhir, saya terlalu inginkan kemenangan untuk merebut slot final.

"Pada ketika saya tewas, saya terlalu kecewa sehingga tidak dapat membendung perasaan saya. Saya menangis," jelasnya.

Dua tahun selepas itu, Jin Wei sekali lagi dinamakan dalam skuad negara bagi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur.

Ironinya, dia sekali lagi minitiskan air mata di sebalik kejayaan membutirkan pingat emas buat negara.

"Dalam edisi tahun lalu, saya sekali lagi dipanggil menyertai pasukan kebangsaan untuk saingan Sukan SEA Kuala Lumpur.

"Beraksi di hadapan penyokong sendiri, saya tidak jangka akan memenangi pingat emas buat negara. 

"Saya terlalu gembira sehingga sekali lagi menitiskan air mata sejurus menamatkan saingan tersebut," tambahnya.

Mengulas kejayaan terbarunya dalam Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, minggu lalu, ini reaksi Jin Wei : "Saya tidak pernah bermimpi untuk memperoleh kejayaan ini (pingat emas sulung negara dalam temasya Olimpik Remaja).

"Peluang hanya datang sekali. Ini juga merupakan tahun terakhir saya di peringkat remaja. Saya sedar saya perlu memanfaatkan peluang itu.

"Kejayaan itu sudah pasti akan menggembirakan saya.

"Selepas ini, saya sudah boleh melupakan segala kejayaan di peringkat remaja dan fokus bagi menghadapi saingan di peringkat senior," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen