Jin Wei buktikan dia taruhan terbaik negara

Oleh Penulis Jemputan 12 Oktober 2018 3191
Jin Wei buktikan dia taruhan terbaik negara
Perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, berupaya menjadi sinar buat kem badminton kebangsaan ketika Malaysia gusar masa depan sukan ini semakin kelam tanpa kelibat Datuk Lee Chong Wei.

Perkara itu dibuktikannya sebaik melangkah ke final Sukan Olimpik Remaja Buenos Aires 2018, awal pagi tadi.

Adakalanya peminat badminton negara terlepas pandang bahawa Jin Wei hanya berusia 18 tahun ketika ini.

Selepas memenangi Kejohanan Remaja Dunia 2015, ada kegusaran timbul sama ada dia akan tenggelam dalam saingan peringkat senior.

Kritikan itu, bagaimanapun, dibalas Jin Wei dengan pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu dan kini dia meletakkan dirinya sebagai pemain nombor satu negara dengan kedudukan ranking ke-27 dunia.

"Sejak akhir-akhir ini, perubahannya dalam sesi latihan bertambah baik. Untuk melihat dia lebih menyerlah, mungkin akan mengambil masa.

"Dalam memperkatakan dia akan menggantikan Lee Chong Wei juga memerlukan masa yang banyak," ujar jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock.

Jin Wei, hampir dikejutkan wakil Thailand, Phittayaporn Chaiwan, di peringkat separuh akhir sebelum itu, namun dia bangkit mengungguli aksi tiga set tersebut.

Dia beraksi di bawah tekanan memandangkan tiada harapan emas disandarkan kepadanya dalam kejohanan itu.

"Ini adalah satu cabaran untuknya sebelum beralih ke pentas senior. Dia perlu menganggap ini sebagai satu ujian kerana ini tahun terakhirnya di pentas remaja.

"Dalam usia 18 tahun, dia telah meletakkan dirinya bersama kelompok pemain terbaik dunia. Apapun, saya tidak mahu meletakkan sebarang tekanan kepadanya," tambah Seu Bock.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen