Tatkala saingan Piala Thomas 2018 berbaki 18 hari untuk dimulakan, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, masih berahsia mengenai senarai akhir untuk dipertaruhkan di Bangkok, namun dijangka pengumuman akan dibuat esok.

Situasi itu membuatkan setiap pemain kebangsaan perlu meneruskan usaha gigih bagi menambat hati pengendali itu, termasuk Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Sebagai antara pemain yang telah disenarai pendek untuk menghadapi Piala Thomas, Iskandar mengakui dirinya agak berdebar.

"Agak berdebar juga menunggu keputusan kerana tiada sebarang bayangan sehingga kini. Jadi, diharapkan akan ada keputusan yang positif terhadap nama saya," katanya.

"Secara jujur, saya sendiri 50-50 yakin untuk disenaraikan tetapi jika dilihat kepada peningkatan, saya rasa saya telah menunjukkan perkembangan yang ketara pada tahun ini. Saya juga perlu lebih konsisten," ujarnya.

Dalam masa sama, Iskandar juga tidak menafikan jumlah kejohanan yang terhad buat pemain-pemain yang disenarai pendek telah membuatkan komitmen tinggi dituntut setiap kali sesi latihan dijalankan.

"Latihan agak padat ketika ini. Dalam empat minggu terakhir, waktu itu hanya untuk sesi latihan dan tidak menyertai mana-mana kejohanan. Jadi, diharapkan saya dapat memperbaiki semua kelemahan," tambahnya.