Jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek, mendedahkan hubungan seperti anak dan bapa yang menyebabkan dia bersetuju untuk kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan mengisi kerusi panas itu.

Misbun juga menerangkan bahawa perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei, telah berusaha selama enam tahun untuk memujuknya, namun kali ini pujukannya berjaya melembutkan hatinya.

“Sebenarnya bukan tiga kali tetapi sudah enam tahun dia meminta saya untuk kembali.

“Cuma sejak akhir-akhir ini saya rasa terpanggil selepas melihat Chong Wei sanggup datang merayu dan usahanya itu menyentuh perasaan saya,” kata Misbun.

Selain itu, Misbun juga bersetuju untuk kembali selepas Chong Wei menyatakan hasrat untuk menamatkan kariernya di bawah kendalian jurulatih berusia 57 tahun itu.

“Dia juga ada beritahu, mahu bersara semasa di bawah pengawasan saya dan itu yang membuatkan saya rasa sudah tiba masanya untuk saya kembali,” ujar Misbun.

​"Semua orang tahu saya dan Chong Wei seperti anak dan bapa dan apabila seorang anak sudah meminta pertolongan, saya mesti bantu dan sebab itulah saya terima," tambahnya.