Harapan pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, untuk sekali lagi mencipta keajaiban di pentas antarabangsa bagi tahun 2018 tidak kesampaian apabila tewas straight set dalam final Kejohanan Masters Korea Selatan di tangan wakil tuan rumah, Son Wan Ho, hari ini.

Selepas mengungguli kejuaraan pertama di Taiwan, perjalanan Zii Jia, yang merupakan pemain ranking ke- 60 dunia, tampak semakin positif apabila melangkah ke pentas final di Korea.

Namun, lawannya bukan calang-calang tatkala Wan Ho hadir selaku pilihan pertama kejonanan.

Aksi set pertama jelas menunjukkan Zii Jia sedikit hilang fokus dan gagal untuk membaca corak permainan pantas lawan dengan adunan smash serta permainan di jaring.

Walaupun sesekali Zii Jia cuba memberi tentangan, namun Wan Hoo tidak berdepan masalah untuk mengungguli set pertama 21-16.

Memasuki set kedua, Wan Ho yang menduduki ranking keenam dunia terus memberi tekanan buat Zii Jia sehingga mendahului 11-4 sebelum kawalan gelanggang kurang sempurna daripada lawan memudahkan tugas pemain berusia 30 tahun itu untuk menamatkan saingan untuk muncul juara dengan kemenangan 21-11 dalam masa 36 minit.