Pasukan badminton Perancis membuat persiapan rapi dengan menjadikan Malaysia sebagai destinasi terakhir untuk menjalani latihan sebelum menghadapi Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Yogyakarta, Indonesia, dari 16 hingga 22 Oktober ini.

Ia adalah sebahagian daripada program pertukaran di antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persekutuan Badminton Perancis.

Pada tahun lalu, Malaysia berkunjung ke Bordeaux untuk menjalani latihan sebelum menghadapi Kejohanan Dunia 2016 di Bilbao, Sepanyol.

Kini giliran Malaysia menyambut kehadiran skuad Perancis di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara.

Selepas tiba di Kuala Lumpur kelmarin, mereka berusaha untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Asia Tenggara memandangkan Kejohanan Remaja Dunia tahun ini diadakan di Yogyakarta.

"Sebab mengapa kami hadir ke sini adalah untuk menyesuaikan diri dengan suhu dan persekitaran, selain mahu pulih daripada kesan perjalanan panjang.

"Tetapi ia mengambil masa dua hingga tiga hari, namun selepas itu segala-galanya akan beransur baik," kata ketua jurulatih pasukan, Christophe Jeanjean.

Perancis bakal menghantar 10 pemain yang terdiri daripada enam pemain lelaki dan empat wanita, dengan sandaran kepada Arnaud Merkle dalam acara perseorangan serta pasangan beregu lelaki, Leo Rossi-Thom Gicquel.

"Kami mempunyai sasaran utama dalam Kejohanan Remaja Dunia. Kali terakhir kami berjaya mara ke dua suku akhir.

"Sasaran kami kini adalah untuk memenangi pingat pertama buat Perancis dalam kejohanan itu dan kami mampu melakukannya dalam beberapa acara seperti perseorangan dan beregu lelaki," tambahnya.