Pemain badminton beregu lelaki negara, Goh V Shem, mahu membuka buku baru bersama gandingan barunya, Teo Ee Yi, dan melupakan episod hambar bersama Tan Wee Kiong sebelum ini.

Selepas mempamerkan prestasi yang tidak memuaskan, pasangan yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu akhirnya dibubarkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Ternyata V Shem tidak mahu skrip sama berulang bersama Ee Yi yang menjadi gandingan barunya untuk mereka bersama-sama memulihkan prestasi semasa.

Banyak perbezaan di antara Ee Yi dan Wee Kiong, di mana pemain berusia 28 tahun itu masih memerlukan masa untuk memahami corak permainan pasangannya bagi membentuk persefahaman dengan lebih baik.

"Jika dibandingkan, ternyata mereka adalah pemain yang berbeza kerana Wee Kiong dan Ee Yi memiliki cara permainan yang berbeza, jadi saya perlu pantas memahami gaya permainan Ee Yi," kata V Shem.

Dia juga mengambil iktibar daripada aksi yang tidak menjadi bersama Wee Kiong sambil mengharapkan sesuatu yang positif mampu hadir dalam perancangan BAM untuk mereka.

Bagaimanapun, dia masih belum meletakkan sebarang sasaran tertentu apabila menyertai saingan Terbuka Perancis yang menjadi kejohanan pertamanya bersama Ee Yi, bulan depan.

"Saya belum menetapkan sebarang sasaran. Diharapkan undian akan memihak kepada kami pada kali ini."