Bekas perseorangan badminton lelaki negara, Ong Ewe Hock, kecewa dengan sikap pihak berwajib yang seperti lepas tangan dalam isu perobohan bangunan bersejarah, Stadium Badminton Kuala Lumpur.

Baginya, stadium itu adalah venue penuh nostalgia yang pernah menjadi saksi detik-detik gemilang sukan negara.

Ewe Hock secara peribadi memiliki kenangan manis di venue itu ketika memenangi pingat emas acara berpasukan lelaki dalam Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.

Dia akur seandainya bangunan itu terpaksa dirobohkan kerana peredaran masa, namun pihak yang terlibat tidak seharusnya senyap dan perlu mengotakan janji untuk mendirikan bangunan baru sebagai ganti kepada stadium berkenaan.

"Ia satu kerugian memandangkan venue itu merupakan satu tempat bersejarah yang boleh menganjurkan kejohanan," katanya kepada Nadi Arena.

"Ia pernah menganjurkan kejohanan walaupun hanya boleh menempatkan dalam seribu penonton.

"Saya faham ia untuk tujuan pembangunan tetapi selepas ia dirobohkan, dirikanlah satu tempat (stadium) yang lebih besar," katanya.