Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, sudah merangka pelan strategik untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pendekatan seterusnya adalah untuk meyakinkan kesemua lima ketua jurulatih untuk berkongsi wawasan sama.

Choong Hann, sejak hari pertama memulakan tugas, menyedari aspirasi yang perlu dijadikan realiti adalah pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bagi mencerahkan misi itu, beliau perlu mencipta sejarah buat Malaysia dengan memastikan dua wakil daripada setiap acara layak beraksi dalam temasya itu.

"Buat masa ini, saya perlu memastikan segala perancangan bersesuaian dalam misi ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Selepas itu, saya akan mendedahkan segala perancangan kesuluruhan pasukan.

"Saya banyak berbincang dengan barisan kejurulatihan dan pemain negara dan kami sedang merencana penambahbaikan dalam latihan yang mampu membawa mereka pergi lebih jauh," katanya.

Choong Hann juga berkongsi pandangan mengapa Datuk Lee Chong Wei masih berada dalam perancangan jangka masa pendek itu di sebalik ketidaktentuan kepulangannya ke gelanggang kompetitif susulan rawatan kanser.

"Chong Wei sudah menyuarakan keinginannya untuk memburu pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kami sentiasa bersedia menantikan kepulangannya di atas gelanggang.

"Namun, jika dia tidak mampu untuk kembali, kami masih memiliki Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao," tambahnya.