Apa sahaja pengorbanan untuk menjayakan Program Badminton Road to Tokyo (RTT) harus datang daripada individu tertinggi skuad kebangsaan.

Antara pengorbanan itu adalah setiap jurulatih perlu berkampung di Akademi Badminton Negara (ABN), Bukit Kiara, untuk sekurang-kurangnya selama sebulan apabila latihan skuad kebangsaan disambung semula bulan depan.

Menerusi satu perkongsian bersama wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, menjelaskan perspektifnya mengenai keadaan itu.

"Jika itu yang perlu dilakukan, kami (jurulatih) perlu mengambil langkah itu.

"Sudah pasti kami masih berada dalam perbincangan untuk menentukan apa cara terbaik yang kami boleh terapkan dan apa halangan yang akan kami lalui.

"Daripada satu sisi cerita di sini, ia agak rumit.

"Kami pastinya sedang berusaha untuk menyiapkan diri bagi menghadapi perkara itu.

"Sesetengah jurulatih amat mudah untuk memberikan komitmen terhadap perkara ini kerana sebahagian mereka mungkin tidak memiliki komitmen terhadap keluarga.

"Sesetengah lagi memerlukan pertimbangan untuk memikirkannya.

"Sudah pasti terdapat persoalan mengenai situasi semasa ini berlarutan sekali lagi.

"Jadi, tempoh penempatan itu akan terus berpanjangan.

"Apabila anda tidak dapat menjangkakan dan melakukan perancangan, itu mungkin menjadi isu buat saya dan jurulatih kerana kami tidak dapat merancang apa-apa," katanya.