Choong Hann: Beberapa pemain perlukan 'tumpuan khas'

Oleh Ammar Hakim 17 Februari 2020 554
Choong Hann: Beberapa pemain perlukan 'tumpuan khas'
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, akan mula mengenal pasti pemain yang memerlukan tumpuan khas untuk memperbaiki prestasi mereka apabila terdapat beberapa pemain negara yang gagal menyerlah ketika Kejohanan Badminton Berpasukan Asia.

Skuad badminton negara mengharumkan nama Malaysia dengan aksi yang dipamerkan ketika Berpasukan Asia apabila melakar sejarah dan melangkau jangkaan BAM.

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa pemain yang gagal menyerlah ketika kejohanan tersebut dan bakal dikenal pasti Choong Hann untuk menerima tumpuan khas supaya proses memperbaiki prestasi berlaku dengan lebih cepat.

"Malaysia telah menampilkan aksi cemerlang ketika berdepan Jepun dan Taiwan.

"Sebilangan besar pemain-pemain dalam skuad ini membuat penampilan pertama dalam saingan berpasukan, tekanan berjaya diserap dengan baik dan menampilkan semangat juang yang tinggi," kata Choong Hann menerusi Nadi Arena.

Beliau turut kagum dengan kendalian ketua jurulatih perseorangan, Hendrawan, apabila barisan perseorangan lelaki antara yang paling menyerlah ketika kejohanan tersebut.

"Skuad perseorangan negara telah beraksi cemerlang sepanjang saingan Berpasukan Asia kali ini. Setiap perancangan dan strategi yang ditetapkan telah dilaksanakan dengan cemerlang," kata Choong Hann.

Choong Hann dan skuad negara tiba dengan selamat di tanah air hari ini dan ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen