Datuk Lee Chong Wei sah mengorbankan perancangannya untuk berehat selepas Siri Super Final di Dubai demi memastikan Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, Thailand, Mei depan.

Dalam perancangan asalnya, Chong Wei hanya akan kembali ke gelanggang kompetitif pada Mac nanti dengan membuat penampilan dalam Seluruh England sebelum menyedari skuad negara berdepan situasi sukar.

Kemerosotan ranking meletakkan Malaysia dalam kedudukan perlu menamatkan saingan Kejohanan Berpasukan Asia dalam kelompok empat terbaik jika mahu mengesahkan tiket ke Piala Thomas.

"Demi negara dan BAM, saya tidak boleh menolak kerana pusingan kelayakan ini penting buat Malaysia.

"Dulu kami tidak perlu beraksi dalam pusingan kelayakan berdasarkan ranking. Justeru, saya perlu mengubah sedikit perancangan asal dan berbincang dengan jurulatih," ujarnya.

Kepentingan misi untuk memburu peluang merebut piala berprestij itu turut menyaksikan Tan Wee Kiong-Goh V Shem kembali digandingkan.

Pendekatan itu, pada pandangan pemain perseorangan utama negara itu, mereka akan menawarkan pulangan positif untuk skuad negara secara keseluruhan.

"Bagus untuk Wee Kiong-V Shem, saya menganggap mereka adalah beregu lelaki terbaik negara.

"Selepas Siri Super Final tahun lepas, prestasi kami menjunam dan ini sesuatu yang luar biasa.

"Sebagai pemain paling senior dalam BAM, saya juga mengalami prestasi turun dan naik. Jika mereka boleh melepasi tempoh paling sukar, mereka pasti akan menjadi lebih kuat," ujarnya.