Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, mengumumkan bahawa dia sedia untuk kembali ke gelanggang selepas disahkan menghidap kanser hidung Julai lalu, namun bergantung kepada keadaan kesihatannya.

Pengumuman itu dilakukan Chong Wei dalam satu sidang media khas di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, sebentar tadi.

"Apa yang penting ketika ini adalah kesihatan saya.

"Kemudian, baru saya akan fikirkan untuk kembali ke gelanggang.

"Saya akan cuba kembali secepat mungkin jika kesihatan saya mengizinkan, namun jika keadaan saya tidak baik selepas itu, saya akan bersara," katanya.

Chong Wei juga lega keadaannya kini semakin baik, namun doktor menasihatkannya agar tidak terburu-buru kembali ke gelanggang.

"Saya menjalani pemeriksaan kesihatan (di Taiwan) semalam dan doktor memberitahu kesihatan saya sudah kembali normal.

"Saya hanya perlukan lebih rehat sebelum boleh menjalani latihan seperti biasa," tambahnya.

Chong Wei menjelaskan dugaannya kali ini lebih berat berbanding apa yang pernah dilaluinya sebelum ini. Dia berterima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya.

"Selepas Terbuka Indonesia, saya dapati kesihatan saya tidak baik.

"Selepas menjalani pemeriksaan, saya terkejut dengan apa yang menimpa saya.

"Saya terlampau sedih sehingga kerap menangis selepas mengetahui tentang penyakit itu.

"Saya ke Taiwan kerana rawatan di sana lebih baik untuk membantu saya kembali pulih.

"Pihak keluarga menyarankan agar kami terus tinggal di sana untuk terus mendapatkan rawatan.

"Mereka banyak memberi motivasi kepada saya.

"Peminat juga tidak putus mendoakan saya di laman sosial.

"Itu menjadi kekuatan saya dalam melawan penyakit itu," katanya lagi.