Chong Wei: Atlet jangan putus asa

Oleh Shaiful Shamsudin 25 Mac 2020 42
 Chong Wei: Atlet jangan putus asa
Tiada siapa yang lebih gusar dengan nasib Olimpian negara kalau bukan chef-de mission (CDM) kontinjen negara, Datuk Lee Chong Wei, berhubung penundaan Sukan Olimpik Tokyo berikutan ancaman wabak koronavirus baru (Covid-19).

'Jangan putus asa' merupakan mesej ringkas daripada bekas jaguh badminton dunia itu buat atlet negara yang masih memburu tiket kelayakan ke temasya di Jepun itu dalam waktu sukar ini.

"(Penundaan Sukan Olimpik) penting demi kesihatan atlet.

"Bukan semua orang menginginkan temasya ini ditangguhkan tetapi Covid-19 ini bukan sahaja (menjangkiti) Malaysia malah seluruh dunia," katanya ketika diwawancara melalui FaceTime.

Dalam masa yang sama, Chong Wei berharap atlet bersikap positif sambil menggunakan kesempatan ini untuk memantapkan prestasi, seterusnya mencerahkan peluang untuk layak.

"Bagi yang belum layak, jangan putus asa. 

"Ini kerana kita belum tahu lagi apakah perancangan badan induk seperti Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

"Saya pasti Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, akan berusaha mendapatkan perkembangannya buat atlet. 

"Atlet tidak harus berputus asa, teruskan berjuang," katanya lagi.

Sementara itu, penerjun senior negara, Leong Mun Yee, terus komited dalam misi melakar sejarah peribadi dengan penampilan kelima Sukan Olimpik. 

"Saya perlu tunda sebarang perancangan tahun depan ekoran penularan wabak ini. 

"Setakat ini, Malaysia sudah mempunyai empat penerjun yang sudah layak ke Sukan Olimpik. 

"Beberapa atlet masih lagi berpeluang terutama lelaki," katanya.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen