Persekutuan Badminton Dunia (BWF) serius dalam usaha untuk terus mengkaji format sistem baru dan tidak hanya bersandarkan kepada kepentingan memanjangkan kerjaya ikon dunia seperti Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan.

Sistem 21 mata yang diguna pakai ketika ini menerusi tiga set terbaik telah diperkenalkan dalam saingan kompetitif sejak 2005.

Selepas saingan Sukan Olimpik Rio, BWF sudah mula bereksperimentasi dengan perkiraan 11 mata rali dalam lima set terbaik menerusi aksi di peringkat remaja dan senior sehingga bertaraf Grand Prix (GP).

"Anda perlu memahami apa yang kita mampu buat untuk menarik minat golongan muda kepada sukan badminton.

"Ada tiga aspek, iaitu lebih pantas mencapai kemuncak, lebih aksi kemuncak dan gabungan dua elemen itu akan menghasilkan aksi mendebarkan.

"Ini adalah elemen yang saya mahu terus diuji," kata Presiden BWF, Poul Erik Hoyer Larsen.

Hoyer Larsen yang juga bekas juara dunia berpandangan perubahan sistem 11 mata ini tidak semestinya memihak kepada pemain senior seperti Chong Wei.

Sebaliknya, aspek kekuatan mental akan menjadi perbezaan dalam aksi pungutan mata yang lebih agresif itu.

"Tiada bukti di dalam kajian yang mengatakan generasi lebih senior akan lebih mudah untuk menang.

"Pada pandangan saya, sesiapa yang mempunyai mental yang kuat mungkin akan berkelebihan untuk memenangi perlawanan."

Perkhabaran daripada BWF adalah sebarang pertukaran format secara rasmi akan dilaksanakan bermula 2018 dengan badan induk dunia itu bakal melakukan rombakan terhadap portfolio saingan di bawah kalendar mereka.