India sedia membuatkan Malaysia gigit jari seperti yang mereka lakukan dalam Kejohanan Berpasukan Asia empat tahun lalu apabila kedua-dua pasukan berentap merebut gelaran juara Kumpulan B bagi edisi 2020, petang ini.

Kempen 2016 di Hyderabad, India, menyaksikan skuad negara terpaksa akur tersingkir di peringkat suku akhir di tangan rumah menerusi pertembungan dramatik yang berkesudahan 2-3.

Menghadiahkan mata kemenangan India pada waktu itu ialah perseorangan mereka, H.S. Prannoy yang turut membarisi skuad 2020.

Dia tidak ketinggalan berkongsi perspektif menjelang pertemuan itu yang dijangka sengit bagi perebutan gelaran juara kumpulan.

"Ia pasti pertembungan yang sengit, Malaysia mempunyai sebuah pasukan muda yang begitu baik.

"Malaysia juga mempunyai beregu lelaki yang bagus (Aaron Chia-Soh Wooi Yik).

"Ini pertarungan yang getir dan kini ia bertambah berliku memandangkan Malaysia mempunyai Lee Zii Jia.

"Dia bermain dengan sangat baik dalam tempoh enam bulan terakhir.

"Kalau kami dapat mengatasi pemain perseorangan pertama mereka, perjalanan kami akan menjadi lebih mudah.

"Kami sudah bersedia untuk mengharungi perlawanan ini ," kata Prannoy menjelang pertemuan di Manila, Filipina itu.

Editor: Shaiful Shamsudin