Biarpun bakal berdepan cabaran getir bagi aksi suku akhir Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2018, dua beregu negara, Tan Wee Kiong-Goh V Shem dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, bakal memegang tanggungjawab besar untuk membawa kejayaan buat kem kebangsaan.

Beregu lelaki negara, V Shem dan Wee Kiong, tidak menghadapi masalah untuk menyertai kelompok lapan terbaik selepas mudah menewaskan rakan senegara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, semalam namun lawan menanti mereka dalam suku akhir adalah juara dunia 2017, Zhang Nan-Liu Cheng dari China.

Bagaimanapun, rekod perlawanan sebelum ini memihak kepada Wee Kiong dan V Shem apabila menang dua daripada tiga pertemuan dan impian ke separuh akhir tampak realistik.

"Kami pernah bertemu mereka beberapa kali tetapi tidak beraksi dengan baik dalam pertemuan terakhir, jadi kami berharap dapat menampilkan prestasi tertinggi," ujar Wee Kiong.

Sementara itu bagi acara beregu campuran, Peng Soon dan Liu Ying turut berdepan laluan berliku apabila bakal membuat perhitungan dengan pilihan kedua kejohanan, Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong.

Biarpun memiliki kelebihan jika melihat kepada sejarah pertemuan, namun jurang kedudukan carta dunia menjadi pemisah apabila Peng Soon dan Liu Ying kini terperosok di tangga ke-42 dunia manakala lawan berada di tangga ketujuh dunia.

"Lawan telah meningkat dengan ketara sejak Siri Super,jadi kami perlu bersedia untuk bertemu mereka," kata Peng Soon.