Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan keputusan mengejut menghalang wakil pemerhati Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Jadadish Chandra, ketika menghadiri hari kedua sesi pendengaran skandal mengatur perlawanan membabitkan dua pemain profesional negara.

Perkara itu dijelaskan oleh Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, yang kesal dengan tindakan BWF itu selepas menghalang Jadadish yang hadir ke sidang pendengaran itu sebagai wakil BAM dan juga pemerhati.

BWF mendakwa Jadadish mendedahkan intipati sidang pendengaran kepada media seperti yang dilaporkan dalam akhbar, namun Norza menjelaskan perkara tersebut tidak bercanggah dan menghalang sesi siasatan yang dijalankan.

Situasi itu membuatkan Norza menghantar surat bantahan kepada BWF mengenai perkara tersebut.

"Bagi saya, selama ini kami telah memberikan kerjasama dan bantuan kepada BWF dengan menyampaikan perkara-perkara yang sepatutnya tanpa berlaku sebarang isu yang memberi kesan kepada proses pendengaran," kata Norza.

Terdahulu, dua pemain badminton profesional negara berdepan dengan enam tuduhan mengatur perlawanan sejak 2013 hingga 2016.

Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua pemain itu bakal berdepan penggantungan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti badminton seumur hidup.

"Saya menghormati proses pendengaran yang dijalankan. Jika nama-nama pemain yang terlibat itu perlu dimaklumkan, ia perlu melalui proses yang dikendalikan oleh BWF," katanya.