Kejohanan Badminton Terbuka Remaja Bakti yang dianjurkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dianggap sebagai satu inisitiaf terbaik bagi memberi pendedahan kepada bakat-bakat muda.

Kejohanan itu buat julung kalinya membabitkan saingan bawah 16 tahun, di mana sebelum ini hanya dibuka untuk penyertaan bawah 12 tahun.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, menyifatkan Bakti atau Program Tunas Juara Bakti tidak pernah gagal dalam usaha untuk memberi peluang kepada kanak-kanak dan kini lebih serius dalam melibatkan peserta remaja.

Seperti Kejohanan Badminton Remaja Airasia-BAM hasil cetusan idea Norza yang berlangsung bulan lalu, saingan remaja Bakti itu juga tidak kurang hebatnya dalam mencungkil bakat baru.

"Peranan Bakti adalah untuk memberi fokus kepada pemain yang tidak bersama BAM. Ia melalui BJSS (Sekolah Sukan Bukit Jalil).

"Kami melihat ramai pemain yang berada di luar sana mempunyai bakat tetapi tidak bersama BJSS kerana kekangan tertentu.," kata Norza selepas majlis penyampaian hadiah di Sports Arena Sentosa, Kuala Lumpur, hari ini.

Norza yang hadir dalam majlis perasmian dan penutupan kejohanan berkenaan tidak ketinggalan menyaksikan tiga aksi final melibatkan beregu dan perseorangan lelaki bawah 16 tahun.

"Sudah lama kami berada dalam pembangunan badminton menerusi Bakti. Bakti telah berusaha lebih daripada 10 tahun.

"Kami melahirkan pemain-pemain muda dari umur 12 hingga 17 tahun. Kami juga melahirkan pemain yang turut mewakili Malaysia," kata jurulatih badminton Tunas Juara Bakti, Wong Kai Wai.