Chun Zheng Thai muncul juara perseorangan lelaki B-16, pusingan kedua Kejohanan Badminton Remaja Tertutup Perak yang berakhir di Akademi Badminton Perak, Meru Raya, semalam.

Bagaimanapun, pilihan utama kejohanan itu, Zheng Thai, terpaksa mengerah kudrat sebelum dapat mengatasi cabaran pilihan ketiga, Ernest Lee Zi Yang, 21-18,14-21, 21-14 sementara Chew Jia Hui tidak menghadapi sebarang masalah menjuarai acara perseorangan perempuan B-16.

Turun selaku pilihan utama, Jia Hui mudah menjinakkan pilihan kedua, Nicole Hen Yee Toong, 21-10, 21-16.

Bagaimanapun, kejutan berlaku dalam acara perseorangan perempuan B-14 apabila pemain bukan pilihan, Nicole Quah, menumpaskan pilihan kedua, A. Kierthika, 21-16, 21-14.

Mohamad Al Imran Jasni pula muncul juara perseorangan lelaki B-14 tahun menumpaskan Leong Hao Xuan 21-8, 22-20.

Bagaimanapun, Hao Xuan menebus kekalahannya apabila bergandingan dengan Ng Jhi Hao untuk menundukkan Al Imran-Arnold Dibble 15-21, 21-19, 21-18 dalam acara beregu.

Sementara itu, pasangan Khairul Nabihan Khairol Nizam-Syed Muhammad Mustaqim memenangi acara beregu lelaki B-16 selepas mengatasi Edward Cheong Yan Khai-Ernest Lee Zi Yang 23-21, 21-14.

Kejohanan tiga hari anjuran Persatuan Badminton Perak (PBP) itu mempertandingkan 11 acara, iaitu perseorangan B-10, B-12, B-14 dan B-16 lelaki dan perempuan serta beregu lelaki B-12, B-14 dan B-16.


Editor: Nafis Abdullah