Aaron Chia-Soh Wooi Yik memilih laluan berliku untuk lolos dalam Kumpulan B, Kejohanan Badminton Akhir Jelajah Dunia apabila dikejutkan Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov dengan straigt set dalam masa 33 minit, sebentar tadi.

Pencabar tinggi lampai dari Russia itu pada awalnya diasak hebat oleh pilihan kedua kejohanan di Impact Arena, Thailand, berkenaan namun mula mengutip mata demi mata selepas ketinggalan 6-11.

Ivanov -- yang berketinggian 197cm -- sering menjadi ancaman di depan jaring sekali gus memberi kelebihan kepada mereka untuk mematikan bulu tangkis.

Walaupun beberapa kali memerangkap lawan dengan hantaran ke sudut garisan, namun Aaron-Wooi Yik yang meraih kemenangan dalam aksi pertama kempen ini sukar mencari jawapan untuk keluar dengan kelibat Ivanov itu sebelum menyerah 19-21 dalam set pertama.

RESULTS: World Tour Finals Group B #RUS ?? Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov def. #MAS ?? Aaron Chia-Soh Wooi Yik (2) 21-19 21-16 #BadmintonMalaysia #BadmintonLovers

Posted by Badminton Association of Malaysia - BAM on Wednesday, January 27, 2021



Skrip pertarungan itu berulang dalam set kedua.

Gandingan negara kembali menyusun gerakan untuk mendahului set pertama 11-9 -- ketika rehat ketua jurulatihan beregu negara, Flandy Lampele, mengambil kesempatan itu untuk memberi arahan khususnya kepada Aaron -- namun penguasaan tersebut gagal dikekalkan apabila gemar memberi hantaran tinggi kepada lawan yang di ranking ke-24 dunia berkenaan (tangga kelima Jelajah Dunia).

Dengan semangat juang beregu Malaysia itu yang semakin luntur, Ivanov-Sozonov mengesahkan kemenangan mereka 21-16.

Lawan yang akan dihadapi mereka dalam pertembungan akhir peringkat kumpulan esok, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, perlu memerah keringat sebelum menundukkan lawan mereka itu 21-18, 15-21, 21-17 semalam.

Sementara itu, beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menebus kehampaan semalam dengan mencipta kemenangan 21-19, 21-18 ke atas Marcus Ellis-Chris Langridge dari England.