Kejohanan Badminton Akhir Jelajah Dunia 2020 yang menutup tirai hari ini menyaksikan pertembungan mendebarkan dalam acara beregu wanita dan lelaki.

Beregu wanita, Kim So Heong-Kong Hee Yong dan Lee So Hee-Shin Seung Chan, membuat perhitungan sesama Korea Selatan di Impact Arena, Thailand.

Aksi lebih tekal yang ditonjolkan So Heong-Hee Yong -- berjersi putih -- menjadikan senjata buat mereka untuk merakam kemenangan awal 21-15.

Namun, set kedua pula menyaksikan So Hee-Seung Chan bangkit dan meskipun beberapa kali ketinggalan , mereka tetap berjaya merakam kemenangan 26-24 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

So Hee -Seung Chan selaku pilihan ketiga -- jurang satu anak tangga dengan seteru senegara mereka itu -- terus memperagakan aksi mantap bagi menoktahkan perjuangan juara Terbuka Thailand yang kedua tersebut dengan 21-19, sekali menamatkan pertarungan selama 92 minit berkenaan.





Final beregu lelaki pula menyaksikan pasangan Taiwan, Lee Yang- Wang Chi Lin, melengkapkan hatrik di Bangkok selepas menundukkan pencabar Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Set pertama menyaksikan Lee Yang-Chi Lin lebih mendominasi permainan dengan kawalan gelanggang yang menarik untuk meraih kemenangan 21-17.

Ahsan-Hendra cuba menjelmakan kebangkitan dalam babak seterusnya dengan beberapa kali merapatkan jurang mata.

Namun, Lee Yang-Chi Lin jelas berada di tahap lebih baik untuk merekodkan kemenangan 23-21.