Bintang Taiwan, Tai Tzu Ying, menebus dua kekecewaan lalu kepada Carolina Marin apabila menafikan kejuaraan hatrik pemain Sepanyol itu -- pertemuan ke-18 mereka -- dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Akhir Jelajah Dunia 2020 di Thailand, hari ini.

Saingan perseorangan wanita itu menyaksikan Tzu Ying bangkit daripada ambang kekalahan sebelum mengatasi lawannya tersebut dalam aksi rubber set.

Set pertama menyaksikan pemain Eropah itu lebih unggul mengawal rentak permainan sebelum mencatat kemenangan 21-14.

Memasuki set kedua, Tzu Ying mula menjelmakan kebangkitan dengan aksi lebih pantas dan permainan di jaring yang lebih sempurna untuk merakam kemenangan pantas 21-8.

Finalis edisi lalu itu meneruskan momentumnya dalam set ketiga untuk meraih kemenangan 21-19 biarpun Marin beberapa kali cuba merapatkan jurang mata.





Dalam saingan perseorangan lelaki pula menampilkan dua pemain Denmark, Viktor Axelsen, yang di ranking keempat berdepan pemain ketiga dunia, Anders Antosen.

Walaupun pada awalnya kedua-dua pemain itu saling mengutip mata, namun Antosen yang tiga tahun lebih muda daripada Axelsen, 27 -- mempamerkan aksi yang lebih mantap untuk memenangi set pertama 21-16.

Set kedua pula Axelsen berjaya memperkemaskan kawalan gelanggang dan serangan untuk mengikat kedudukan 1-1 selepas menang 21-5.

Tetapi percaturan Antosen lebih licik untuknya menyekat gerakan pemenang dua kejohanan Terbuka Thailand itu dengan kemenangan 21-17.