AJC B-15 medan lahirkan jagoan masa depan

Oleh Penulis Jemputan 12 November 2018 56
AJC B-15 medan lahirkan jagoan masa depan
Kejohanan Badminton Remaja B-15 Astro (AJC B-15) bakal menjadi medan untuk melahirkan jagoan badminton masa depan negara.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Henry Tan, berkata melalui program AJC B-15, jagoan masa depan akan mendapatkan pendedahan kepada persaingan peringkat global.

"Kami mahu membawa mereka ke satu tahap yang baru untuk bersaing, bukan hanya di peringkat kebangsaan tetapi juga di peringkat serantau.

"Kami berasakan adalah penting buat atlet muda ini memahami keperluan untuk bersaing bukan hanya di peringkat kebangsaan tetapi di peringkat global," kata Henry.

Sementara itu, Astro komited untuk melahirkan juara masa depan melalui Kem Badminton Astro.

"Ini adalah permulaan kepada tahap itu.

"Bermain secara kompetitif dengan harapan latihan awal dapat membantu dalam menghitung tahap persaingan, latihan dan disiplin yang diperlukan.

"Ia akan membantu dalam membentuk seorang juara yang boleh dibanggakan pada masa depan," tambah Henry yang ditemui selepas majlis perasmian AJC B-15 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, selaku penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

AJC B-15 peringkat serantau merupakan peringkat kedua kejohanan AJC B-15 di mana peringkat pertama menyaksikan penyertaan 32 pasukan tempatan berentap untuk AJC B-15 peringkat kebangsaan.

AJC B-15 berlangsung di Stadium Juara, Kuala Lumpur, selama empat hari bermula hari ini.

Ia menampilkan 14 pasukan dari lapan negara Asia, antaranya Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan China yang akan berentap bagi merebut gelaran juara.

Peserta berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM50,000, trofi, pingat dan set pakaian.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen