Harapan menggunung dibawa dalam diri pemain perseorangan muda, Aidil Sholeh Sadikin, apabila melaporkan diri buat kali pertama di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini dengan sedia mempertaruhkan segala kudrat demi bergelar juara dunia suatu hari nanti.

Aidil pernah ditawarkan untuk berlatih di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tahun lalu, namun mengambil keputusan untuk kekal bernaung di bawah kendalian jurulatih, Rashid Sidek, di Kelab Sports Affairs kerana berasakan dia belum bersedia.

Namun, dia membuat pusingan 'U' setelah menerima tawaran buat kali kedua tahun ini sejurus berakhirnya Kejohanan Remaja Dunia di Markham, Kanada, 5-18 November lalu.

Aidil percaya jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, mempunyai kredibiliti untuk membantunya memcapai hasrat bergelar juara dunia.

"Saya nak jadi juara dalam kejohanan yang dihantar.

"Misbun menetapkan latihan diadakan pada sebelah pagi, jadi saya perlu bangun awal dan bersiap-sedia," katanya.

Untuk diserap menjadi sebahagian daripada skuad elit kebangsaan bukan mudah, apatah lagi Aidil perlu mengharungi tempoh percubaan selama tiga bulan di samping 10 pelatih baru yang lain.

Bagaimanapun, juara remaja kebangsaan dari Selangor berkenaan sudah bersedia untuk mengharungi pelbagai jenis latihan keras bagi memastikan dirinya terpilih dalam kem BAM setelah tamat tempoh percubaan pada Februari 2019 nanti.

"Kalau ingin pergi jauh, saya perlu sertai ABM.

"Kalau kekal di peringkat kelab, maka karier saya akan kekal di tahap itu sahaja.

"Saya akan berusaha lagi dalam latihan dalam usaha merebut perhatian Misbun," katanya.