Atlet lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, nekad kembali ke Jerman untuk menjalani sesi latihan di bawah bekas atlet kebangsaan Jerman, Lotta Tashendov, bagi merealisasikan hasrat layak ke Sukan Asia 2018.

Selepas berguru dengan Tashendov sejak 2016, Ziyad bersama dengan jurulatihnya, Faizol Haron, sekali lagi memilih untuk kembali ke Jerman ketika penyertaan Ziyad dalam Sukan Asia mula diperkatakan ketika ini.

Tegas Ziyad, dia perlu untuk berada di negara itu sekurang-kurangnya tiga bulan dan dijangka membuat kemunculan dalam kejohanan di sana, bermula pada Januari 2018.

Selain itu, Ziyad juga akan menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Australia pada Februari sebelum kembali ke Malaysia.

"Hajat saya untuk pergi ke sana memang untuk berlatih, balik, makan dan berlatih lagi. Tetapi kalau (berlatih) di sini ada macam-macam komitmen.

"Saya ada keluarga, sudah semestinya saya akan jaga anak saya, kemungkinan juga ada program-program di luar," katanya.

Ziyad akan kembali ke Jerman pada April untuk meneruskan latihan selama tiga minggu dan kunjungan ketiganya adalah pada Julai.

"Sejak kebelakangan ini, setengah hari tidak jumpa (keluarga) sudah rasa rindu tetapi tidak tahulah kalau sebulan. Macam manalah perasaan saya nanti.

"Saya tahu perasaan ayah, kalau tinggalkan keluarga. Itu adalah satu pengorbanan, saya perlu lakukan kerana ia adalah misi saya untuk negara. Saya akan cuba buat yang terbaik untuk mengharumkan nama negara," katanya.