Jurulatih Pahang, Dollah Salleh, menganggap pertemuan dengan Terengganu dalam suku akhir Piala FA sebagai aksi tumpuan selain berwaspada dengan ancaman yang mampu dihadirkan barisan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu.

Situasi Terengganu yang tidak konsisten dalam saingan Liga Super gagal menghadirkan kelegaan di hati Dollah menjelang pertemuan itu.

Pertembungan suku akhir pertama akan berlangsung 31 April dan 1 Mei ini manakala aksi timbal balik pada 10 dan 11 Mei.

Sejurus majlis undian di ibu kota hari ini, Dollah menegaskan aksi itu bakal menjadi tumpuan dengan kedua-dua pasukan turut membawa kredibiliti selaku pasukan jiran tetangga.

Turun selaku juara bertahan, Dollah meramalkan anak buahnya bakal berhadapan kesukaran untuk ke final.

"Setiap pasukan yang bertemu Pahang pasti akan berikan aksi 200 peratus, jadi bukan mudah buat kami.

"Pastinya saya dan Irfan Bakti tahu kelemahan dan kekuatan lawan masing-masing.

"Saya perlu pastikan bahawa barisan pemain saya lebih fokus dan berdisipilin, lebih-lebih akan bertemu Terengganu," katanya.

PKNS turut mara dengan membawa reputasi baru selaku pemusnah skuad gergasi.

Bakal berhadapan Kedah bagi saingan suku akhir Piala FA, Semut Merah nampaknya semakin selesa dengan gelaran baru itu.

"Perkara ini mungkin boleh berlaku apabila kami menewaskan pasukan yang lebih hebat.

"Apapun, terserah kepada taktikal jurulatih kami, Datuk K. Rajagobal, dan pemain akan menterjemahkannya di atas padang.

"Dengan membawa nama Semut Merah, mungkin jolokan pembunuh pasukan gergasi boleh kami digunakan pada musim ini," kata Pengurus PKNS, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid.

Keputusan undian:

Pahang lwn Terengganu
PKNP lwn Perak
PKNS lwn Kedah
Kuala Lumpur lwn Felda United