Dua penerjun wanita negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong, berdepan waktu sukar dalam pusingan kelayakan acara 10 meter platform individu wanita di Pusat Akuatik Tokyo hari ini.

Pandelela menamatkan saingan pusingan kelayakan itu di tempat ke-18 daripada 30 peserta selepas mengumpulkan 284.90 mata selepas lima terjunan.

Ia bermakna juara Piala Dunia 2021 itu merupakan peserta di tangga terakhir layak ke pusingan separuh akhir esok.

Bagaimanapun, juara dunia tahun 2017, Jun Hoong, terkandas di peringkat kelayakan selepas menduduki tangga ke-26 dengan 251.80 mata keseluruhan.

Kesilapannya pada dua terjunan pertama menyaksikan Jun Hoong gagal menempatkan diri dalam kelompok 18 penerjun terbaik untuk meneruskan saingan.