Teknologi basikal WXR dan sut perlumbaan menjadikan Malaysia antara pasukan paling dihormati di Velodrom Izu dalam Sukan Olimpik Tokyo.

Ia melengkapkan kekuatan jaguh negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom, yang akan memulakan cabaran dalam acara berbasikal trek pecut individu, Rabu ini.

Teknologi baru yang menyaksikan sebuah jentera menelan belanja RM300,000 itu secara tidak langsung meningkatkan kelajuan Azizul dan Shah Firdaus.

Sejak memiliki WXR dan sut perlumbaan berteknologi tinggi, mereka meraih banyak kejayaan dalam aksi bertaraf lima bintang seperti Kejohanan Asia 2019 serta Kejohanan Dunia 2020.

"Daripada segi keselesaan memang tiada masalah kerana kami sudah menggunakannya sejak tahun lalu lagi, memang sudah menyesuaikan diri.

"Bahkan basikal ini mengikut kesesuaian kami.

"Ia kini bergantung kepada kami untuk berikan persembahan terbaik.

"Walaupun basikal sudah (di tahap) terbaik tapi enjin juga hendaklah digunakan dengan betul.

"Bukan kami sahaja, malah negara lain juga membuat kajian dan pembangunan yang sama seperti Great Britain, Itali dan Jerman.

"Dalam edisi kali ini boleh dikatakan banyak negara buat benda yang sama kerana sebelum ini hanya dua negara sahaja, iaitu Great Britain dan Jerman yang menggunakannya.

"Negara yang tidak menggunakan teknologi ini ketinggalan 1-2 langkah sebelum berlumba," kata Azizul di Nadi Arena semalam.






Selain teknologi, pemilihan tema untuk kali ini juga diperincikan lagi bagi meningkat motivasi pelumba negara.

"Kami cuba ikut tema bendera Malaysia tapi pasukan saya memutuskan untuk menggunakan warna hitam sebab nampak lebih eksklusif dan pantas.

"Warna hitam ini nampak lebih seragam dengan basikal kami sementara kuning melambangkan kedaulatan.

"Jadi ia tidak begitu meriah sangat (warnanya) sebaliknya lebih elegan," katanya lagi.