Penerjun negara, Ahmad Amsyar Azman, melakar kejutan apabila akhirnya berjaya merangkul pingat emas pertamanya dalam acara 1m papan anjal individu menewaskan rakan karibnya, Ooi Tze Liang, yang meraih pingat perak di Pusat Akuatik Nasional, hari ini.

Namun, dia enggan dibuai dengan sambutan hari jadinya -- yang jatuh hari ini -- terlalu awal kerana masih ada satu misi terakhir dalam Sukan SEA untuk acara 3m papan anjal seirama esok bagi mempertahankan pingat emas yang diraih dua tahun lalu.

“Selepas meraih misi emas yang telah diletakkan untuk skuad terjun, baru saya akan menyambut hari kelahiran saya,” kata Amsyar.

Untuk rekod, Amsyar setakat ini telah meraih satu emas (1m papan anjal) dan satu perak (3m papan anjal).

Pandelela Rinong pula mencuri tumpuan kerana mempertahankan pingat emas kelimanya meskipun menyifatkan ia masih bukan aksi terbaiknya berbanding di Sukan SEA Singapura, dua tahun lalu

"Saya berbangga kerana beraksi di hadapan penyokong negara," kata Pandelela.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.