Lagenda lompat bergalah wanita negara, Roslinda Samsu, gembira dengan prestasi semasa Naufal Shahrul Afzam yang kembali mendapatkan momentum terbaiknya dalam kejohanan Terbuka Johor Super Series 1 yang berlangsung hari ini.

Walaupun catatan rekod yang diletakkan kepada Naufal masih belum mencapai sasarannya tetapi ia menganggap prestasi anak buahnya itu dalam keadaan yang positif untuk terus cemerlang pada kejohanan yang akan datang.

Bagaimanapun, dia mahukan Naufal segera mendapatkan prestasi sebenar kembali memandangkan dia mempunyai potensi besar untuk terus menyerlah.

"Dari bulan Januari sehingga April jika Naufal sudah boleh dapatkan kembali catatan masa terbaiknya bagi saya ia sudah cukup dan memadai.

"Berbanding pertandingan pertamanya pada bulan tiga dengan catatan 4.8 meter, pertandingan kedua 4.7 meter dan yang ketiga 5.0 meter jadi ada peningkatan walaupun tidak mencapai sasaran yang saya letakkan lagi.

"Masa latihan pada minggu lepas untuk dia mampu capai 5.2 meter dan 5.3 meter jadi tiada masalah." katanya.