Lagenda lompat bergalah negara, Roslinda Samsu bakal kotakan janji kepada anak didiknya, Naufal Shahrul Afzam, untuk mewarisi acara itu yang telah ditinggalkan Iskandar Alwi susulan kejayaan atlet berusia 22 tahun itu kembali pada ketinggian 5 meter justeru mengakhiri usaha jitu selama 7 bulan dalam kejohanan Terbuka Johor Super Series 1, hari ini.

Sejak melakarkan rekod peribadi terbaiknya 5.10 meter pada bulan September tahun lalu dalam kejohanan Terbuka Negeri Sembilan, dia seakan hilang arah dan melalui fasa kejatuhan prestasi yang merundum.

Prestasi Naufal kini semakin matang dalam menguasai teknik utamanya dan sudah tiba masanya buat Naufal menggunakan galah yang lebih panjang untuk mencapai rekod ketinggian baru memandangkan sasarannya untuk menduduki podium di Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Indonesia pada Jun depan.

"Saya meraikan kejayaan tadi kerana saya mengambil masa yang lama untuk mendapatkan ketinggian seperti itu sejak tahun lepas.

"Peralihan semakin baik dan saya menyasarkan untuk membuat lompatan yang lebih baik daripada ketinggian hari ini." katanya.