Pelari pecut berpenggalaman negara, Jonathan Nyepa, membuktikan dirinya masih lagi kekal relevan disebalik pertumbuhan pesat pelari muda di Malaysia ketika ini.

Daripada tiga saingan separuh akhir, dia kini berada dalam klasifikasi pelari kedua terbaik dengan catatan masa 10.70 saat dengan misi utama untuk melayakkan diri ke pentas akhir.

Biarpun masih ada yang bersifat skeptikal dengan keupayaan pelari berusia 28 tahun itu namun dia tetap membuktikan dirinya masih lagi mampu bersaing dengan kini selangkah lagi untuk dinobatkan sebagai jaguh dalam acara Terbuka Johor Super Series 1.

"Kita lihat situasi sekarang di Malaysia jika pelari mempunyai umur seperti saya semestinya mereka sudah bersara.

"Tetapi kerana minat yang mendalam saya mahu pergi lebih jauh dan bersaing dalam acara pecut 100 meter ini.

"Saya akan cuba bersaing secara sihat bersama pelari muda yang lain. Ini merupakan satu dorongan dan semangat buat pelari muda menilai diri mereka sekiranya ingin bertanding di luar nanti." katanya.