Rentak cemerlang Iga Swiatek berterusan apabila mengatasi seorang lagi juara grand slam, Bianca Andreescu, untuk mara ke separuh akhir Terbuka Itali.

Swiatek, yang meletakkan sasaran untuk merampas semula gelaran Terbuka Perancis yang dimenangi pada 2020 apabila menuju ke Roland Garros bulan ini, telah memenangi 26 perlawanan selepas mengatasi Andreescu 7-6 (7-2) 6-0, juara Terbuka AS 2019.

Wakil Poland berusia 20 tahun itu teah memenangi kesemua sembilan perlawanan sejak bergelar pemain nombor satu dunia berikutan persaraan Ash Barty Mac lalu.

Itu menjadikan dia sebahagian daripada kelab eksklusif, dengan hanya Justine Henin (pada 2004) dan Victoria Azarenka (pada 2012) telah mencapai kejayaan itu pada abad ke-21.

Aksi cemerlang Swiatek itu turut menyamai rekod tanpa kalah Azarenka pada 2012. Henin, Serena dan Venus Williams antara pemain yang meraih perlawanan berturut-turut sejak permulaan tahun 2000.

"Berada dalam kumpulan sebegitu seperti mimpi yang menjadi kenyataan bagi saya," kata Swiatek.

"Saya tidak akan memikirkan itu semasa saya masih muda. Saya cukup gembira kerana saya boleh melakukannya kerana konsisten merupakan perkara yang saya mahu usahakan tahun lepas dan ia berhasil kali ini."