Carlos Alcaraz akan mencongak perhitungan dengan Casper Ruud bagi perebutan gelaran Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan kedudukan ranking nombor satu dunia selepas menewaskan pemain tuan rumah, Frances Tiafoe, dalam aksi lima set peringkat separuh akhir hari ini.

Pemain berusia 19 tahun itu menjadi pemain termuda layak ke final satu kejohanan grand slam sejak kali terakhir dilakukan seorang lagi pemain Sepanyol, Rafael Nadal, ketika memenangi Terbuka Perancis pada 2005.

Peningkatan prestasinya telah membuatkan Alcaraz kini dibanding-bandingkan dengan legenda Sepanyol berkenaan, terutama ketika dia mempamerkan aksi dengan pukulan bertenaga persis Nadal ketika meraih kemenangan 6-7, 6-3, 6-1, 6-7, 6-3 ke atas Tiafoe.

Terdahulu, Tiafoe, 24, turut mencuri tumpuan selepas menewaskan Nadal dalam pusingan keempat untuk menjadi pemain AS pertama layak ke separuh akhir kejohanan itu dalam tempoh 16 tahun dan pemain lelaki kulit hitam pertama melakukannya sejak Arthur Ashe pada 1972.