Atlet karate negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan, memberi isyarat bahawa berat badannya hanya akan turun jika dia diletakkan di bawah pemerhatian bekas jurulatih, Andreas Vasiljev.

Bekas juara dunia itu kekal dengan jaminan berat badan bawah 55 kilogram mampu dicapai jika dia berada di bawah kendalian Vasiljev sahaja dan dia tidak teragak-agak untuk memberi jaminan tersebut walaupun dia terpaksa menurunkan 11kg dalam masa yang singkat.

"Situasi ini pernah kami lalui sebelum ini, jadi kami tahu bagaimana untuk atasi dan apa yang perlu dilakukan," kata Syakilla.

"Bukan nak kata satu misi tetapi untuk layak ke Olimpik, ia adalah impian. Jadi, segalanya masih sama dan saya perlu lalui semua saingan kelayakan. Diharapkan saya dapat beraksi dalam 55kg."

Syakilla perlu segera mengutip mata untuk layak beraksi di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020 serta kejohanan berstatus K1 yang bakal berlangsung di China awal bulan depan.

Senada dengan Syakilla, Vasilyev ketika ditemui menegaskan isu berat badan bekas anak didiknya itu bukan masalah sukar untuk ditangani.

Malah, pengendali kelahiran Latvia itu memberi bayangan keadaan Syakilla mampu kembali ke tahap sebenar sekiranya atlet berusia 26 tahun itu dibenarkan menjalani latihan bersamanya di Latvia.

"Tidak lama lagi saya rasa keputusan akan dibuat dan kami dapat meneruskan perancangan. Masa diperlukan untuk atlet luar diterima di Latvia dan kini Syakilla dialu-alukan untuk ke sana," ujar Vasiljev.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menegaskan pihaknya masih belum berpatah arang dengan Syakilla.

Shapawi sedia memenuhi keperluan Syakilla bagi membantu atlet itu kembali ke berat badan asal dan bersaing dalam kategori 55kg.

"Kami bincang dan ada beberapa pilihan bersama Syakilla. Insya-Allah, kami belum berputus asa dan Syakilla juga patut membantu diri sendiri. Kami juga memerlukan sedikit masa," kata Shapawi.

Urusan untuk kembali mendapatkan sentuhan Vasiljev dilaporkan sedang berlangsung ketika ini dan ia lebih jelas dengan kehadiran jurulatih itu hari ini tatkala dia sebenarnya tiada dalam perancangan untuk menghadiri pertemuan dengan Syakilla dan MSN.

"Mungkin Vasiljev datang dengan niat untuk memberikan nasihat dan sebagainya. Kami belum berurusan dengan Vasiljev dan dia masih bercuti. Sebarang susunan dengan pihak Latvia juga masih diusahakan tetapi tiada sebarang kata putus telah dicapai," jelasnya lagi.