Ketua pasukan hoki negara, Sukri Mutalib, gembira dengan kebangkitan rakan sepasukan apabila tewas tipis 1-2 kepada juara Sukan Olimpik 2016, Argentina, dalam aksi persahabatan keempat di Buenos Aires, Argentina, hari ini.

Sebelum itu, Malaysia ditimpa dua kekalahan besar, seterusnya kebangkitan di Buenos Aires membuktikan ada pengajaran yang dikutip pemain negara.

Ia penting selepas skuad kendalian Stephen Van Huizen itu tewas 1-6 dalam aksi kedua dan diikuti 2-7 semalam untuk kekalahan terbesar Malaysia dalam siri jelajah di sana.

Aspek positifnya, pemain negara mengurangkan kesilapan sama, namun masih lagi tidak cukup untuk menghalang kekalahan keempat berturut-turut kepada tuan rumah.

"Masih ada sedikit kekurangan yang perlu diperbaiki tetapi aksi pada hari ini sangat positif.

"Pemain-pemain benar-benar bermain untuk maruah diri dan negara.

"Kami sedar bergelut dalam perlawanan kedua dan ketiga sehinggalah bermacam perkara negatif berlaku, namun hari ini kami dapat mengimbangi kekuatan Argentina.

"Saya harap kami akan terus konsisten," kata Sukri.

Gol tunggal negara dijaringkan penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil.

Selepas ini, Malaysia masih mempunyai baki dua perlawanan, iaitu esok dan Jumaat sebelum kembali ke tanah air pada Ahad.