Pertahanan skuad hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Sukri Mutalib, mengalami retak jari kanan sehingga dilihat bakal menjejaskan prestasinya dalam aksi menentang Maybank dalam separuh akhir Piala TNB, Selasa depan.

Kapten kebangsaan itu mengharungi penampilan sulung yang berjaya sejak melengkapkan perpindahan daripada Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC) ke UniKL musim ini.

Bagaimanapun, penampilan Sukri dengan tangan berbalut ketika beraksi mencetuskan tanda tanya mengenai keadaannya tatkala skuad negara Malaysia bakal berdepan saingan Piala Sultan Azlan Shah bulan depan.

Pemain berusia 32 tahun itu memberikan penjelasan: "Saya tetap positif mampu bermain walaupun kecederaan masih belum pulih sepenuhnya.

Ia lumrah sebagai seorang atlet. Apabila menerima kecederaan yang tidak begitu berat, kami perlu terus bermain dan kekalkan tahap kecergasan tidak kira untuk saingan liga atau di peringkat antarabangsa."

Dalam masa sama, dia tidak menyembunyikan kegembiraan apabila membantu UniKL bergelar juara liga buat kali pertama sambil memberi pujian kepada seluruh pasukan, termasuk pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan.

"Sudah tentu saya sangat gembira apabila UniKL dapat menjuarai liga buat kali pertama. Ini adalah tahun pertama saya bersama pasukan. Kejayaan ini adalah hasil kerja rumah yang sangat baik daripada ketua jurulatih, Arul Selvaraj."