Penerjun elit negara, Loh Zhiayi akan kembali membuat penampilan semula dalam acara terjun pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 selepas lebih setahun berehat berikutan mengalami kecederaan mata di kiri.

Beliau mengakui berasa sedikit gementar untuk memulakan aksi pertamanya yang akan membuka tirai pada Isnin ini di Pusat Akuatik Tuanku Zara, Kompleks Sukan MBI.

Kali terakhir Zhiayi, 21, yang mewakili kontinjen Wilayah Persekutuan pada Sukma 2018 kali ini membuat penampilan dalam acara terjun adalah pada Kejohanan Terjun Terbuka Hong Kong pada Oktober, 2016.

"Susah untuk kembali seperti dulu tapi saya masih cuba mencari rentak terjunan sedikit demi sedikit, selepas terpaksa berehat panjang kerana mengalami kecederaan di mata kiri dan selepas melakukan tiga pembedahan.

"Saya juga tidak lagi dapat beraksi dalam acara platform kerana dinasihati oleh doktor untuk tidak melakukan terjunan pada paras yang tinggi. Saya harap dapat menutup aksi di Sukma dengan pencapaian yang manis," katanya ketika di temui pemberita di sini hari ini.

Zhiayi atau lebih mesra dengan panggilan Joey, bakal menyertai dua acara iaitu 3 meter papan anjal individu wanita dan 3 meter seirama wanita pada penampilan kali keenamnya di temasya dwitahun berkenaan.

Edisi lalu, Joey berjaya merangkul dua pingat emas dalam acara kegemarannya 10 meter platform individu wanita dan seirama wanita.

Sementara itu, seorang lagi penerjun negara yang merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Hanis Nazirul Jaya berharap mampu menamatkan penantian emas peribadinya di Sukma sejak kali pertama menyertai temasya itu pada tahun 2012 di Pahang.

"Ini merupakan kali keempat saya sertai Sukma tapi masih belum dapat emas. Pencapaian terbaik adalah Sukma Perlis dengan satu perak dan gangsa.

"Saya harap kali ini saya dapat raih emas, bukan satu tapi dua. Dari segi keyakinan masih di tahap sederhana namun secara keseluruhan saya berasa sangat baik," katanya.

-- BERNAMA