Lebih 1,000 pengunjung memeriahkan acara perasmian Larian Baton sempena Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para Sukma XXI Sarawak 2024 di Peringkat Bahagian Limbang di Taman Awam, di sini, hari ini.

Larian tersebut diadakan bagi mempromosikan SUKMA Sarawak yang bakal berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos, seterusnya Para SUKMA pada 20 hingga 28 September ini.

Simbolik ‘flag off’ telah disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA Sarawak 2024 l, Datu Hii Chang Kee disaksikan Residen Limbang, Yunus Tambi dan Pegawai Daerah Lawas, Khairul Azhar Hasbi.

Lebih 300 peserta menyertai program Larian Baton sejauh 3.6 kilometer mengelilingi bandar Lawas yang terdiri daripada agensi- agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, sekolah menengah dan sekolah rendah, atlet-atlet tempatan serta dari semua lingkungan umur.

Acara Larian Baton akan diadakan di setiap bahagian dan daerah di Sarawak bermula pada bulan ini, dengan Lawas sebagai pembuka tirainya, hingga hujung Jun depan dan Kuching pula bakal menjadi destinasi akhir.

Sebanyak 37 sukan bakal dipertandingkan pada SUKMA dan bagi Para SUKMA, 10 sukan dipertandingkan di sembilan bahagian iaitu Kuching, Kota Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Mukah, Sibu, Bintulu dan Miri.-TVS