Menjelang Ogos 2024, Sarawak bakal dikunjungi ramai peminat sukan tanah air dengan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di negeri Bumi Kenyalang itu.

Sembilan daerah bakal menjadi kunjungan atlet dan peminat, salah satunya ialah daerah Bintulu, sekali gus menjadi sumber keuntungan bagi industri pelancongan dan secara tidak langsung akan meningkatkan ekonomi negeri berkenaan.

Bola sepak, muay thai dan sepak takraw bakal dilangsungkan di Bintulu dan pengunjung bakal membanjiri daerah itu bagi menonton atlet dan sukan kegemaran mereka.

Daerah Bintulu juga merupakan salah satu daripada sebelas bahagian pentadbiran Sarawak. Penduduk Bintulu pula secara etniknya dihuni oleh penduduk Iban, Cina, Melayu, Melanau, Kayan, Kenyah dan Punan.

Selain menawarkan keindahan pantai seperti Pantai Tanjung Batu dan Pantai Tanjung Kidurong (Pantai ABF), Bintulu juga dikenali dengan keunikan dalam hal etnik mereka. Salah satunya ialah etnik Punan.



Orang Punan hanya boleh didapati di Pandan, Jelalong dan Kakus di Bahagian Bintulu.

Etnik Punan dipercayai menjadi salah satu daripada penduduk terawal di bahagian tengah Borneo, Sungai Rajang dan Balui.

Bahasa yang digunakan oleh etnik Punan ini bakal menjadi tarikan kepada pengunjung dari Semenanjung Malaysia kerana bahasa mencerminkan budaya, sejarah dan identiti suatu masyarakat. Salah satunya ialah "Nu ngaro no?" yang bermaksud "siapakah nama kamu?".



Pengunjung akan merasa lebih terhubung sekiranya mereka berkebolehan untuk berbahasa Punan, sekali gus meningkatkan pemahaman mereka tentang budaya setempat.

Mungkin di antara peminat sukan yang hadir ke Bintulu juga berminat dan ingin tahu tentang keunikan etnik di sekitar Bintulu, yang secara positifnya akan memberikan impak kepada sektor perniagaan, penginapan dan pelancongan di daerah itu.