Atlet lompat kijang remaja negara, Ng Tak Sing, tidak terkilan malah mempunyai sebab tersendiri untuk mengorbankan pembabitannya dalam Kejohanan Dunia Remaja B-20, sebaliknya memilih untuk bertanding dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak pada Ogos depan.

Dia cenderung memilih pentas Sukma memandangkan berasakan tidak cukup persediaan untuk bersaing di pentas antarabangsa.

Selain itu, dia juga mengambil kira faktor kesihatan dan tempoh persiapan yang singkat untuk ke Kejohanan Dunia Remaja di Lima, Peru itu yang bermula 27 hingga 31 Ogos.

"Keputusan ini dibuat bersama-sama jurulatih yang akhirnya memutuskan kami akan berdepan kesuntukan masa di sana akibat perubahan zon masa.

"Dengan kejayaan Sukma, ia akan menonjolkan reputasi saya untuk terpilih dalam Sukan SEA pula.

"Dengan jarak perjalanan yang jauh untuk aksi di pentas dunia, prestasi saya boleh jadi tidak menentu," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Berbeza pula buat pelari pecut 100 meter, Yap Soon Fu, yang memilih beraksi menyertai Kejohanan Dunia disebabkan lebih banyak pengalaman boleh dikumpul.

"Saya mahu menempatkan diri dalam kalangan 20 atlet terbaik dunia memandangkan ini tahun terakhir saya di peringkat remaja.

"Lantas, saya menyasarkan catatan 10.20s atau 10.35s," katanya.